Mutiara-mutiara Indah
Dari Hadis-hadis Rasulullah (s.a.w.)
Dalam buku “Halatu Ahli Al-Haqiqah Ma’a Allah”
Karangan Imam Ahmad Ar-Rifa’ie rahimahullah
Hadis
Pertama: Hadis Mengenai Kelazatan Iman
Dari Saidina Al-Abbas ibn Abdul Muttalib r.a., beliau berkata, bahawasanya:
“saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud):
“Seseorang akan merasai kelazatan iman, jika dia meredhai bahawa Allah
s.w.t. sebagai Rabbnya, dan jika meredhai bahawa Islam ialah agamanya, dan
meredhai bahawa Muhammad s.a.w. ialah seorang Nabi (Allah)”
Hadis riyawat Imam Ahmad bin Hanbal r.a. dalam musnadnya, Imam Muslim r.a., dan
Imam Ar-Rifa’ie r.a. dalam buku “Halah Ahl Haqiqah Ma’a Allah”.
Telah berkata Imam Ahmad Ar-Rifa’ie dalam buku beliau “Halah Ahl Haqiqah
Ma’a Allah”: Zauq (perasaan dan kelazatan) tersebut tumbuh dari sifat
redha, (adapun redha tersebut) ialah suatu makrifat (ilmu dan pengenalan)
tentang Allah s.w.t.. Makrifat (mengenal Allah s.w.t.) ialah cahaya yang
diletakkan oleh Allah s.w.t. di dalam hati seseorang yang dikasihi-Nya dari
kalangan para hamba-Nya. Tiada satupun perkara yang lebih mulia dan agung dari
cahaya tersebut (jika dibandingkan dengan nikmat-nikmat Allah s.w.t. yang lain
kepada para hamba-Nya). Hakikat Makrifat (mengenal Allah s.w.t.) ialah kehidupan
hati dengan Tuhan yang Maha Menghidupkan seperti firman Allah s.w.t. yang
bermaksud: “Tidakkah jika seseorang itu mati, maka kami hidupkannya…” (Surah
Al-An’am: 122).
Imam Ar-Rifa’ie seterusnya berkata lagi: “Sesiapa yang telah mati nafsunya,
maka duanianya akan menjauhinya, dan sesiapa yang mati hatinya, maka Allah
s.w.t. akan jauh darinya.”
Sheikh Ar-Rifa’ie berkata juga: “sesiapa yang melihat kepada Allah s.w.t.
(menghalakan pandangan mata hatinya menghadap Allah s.w.t.), tidak akan melihat
kepada dunia, dan tidak pula melihat kepada akhirat. Mentari hati seseorang
Arif (orang yang telahpun mengenal Allah s.w.t.), lebih bercahaya dari mentari
di siang hari…”
(Alfaqir berkata):
Maksud dari perkataan As-Sheikh, bahawa “sesiapa yang melihat kepada Allah
s.w.t…” ialah, seseorang itu mula menghalakan seluruh tujuan hidupnya,
seluruh tujuan amal perbuatannya, kepada Allah s.w.t.. Setiap perkara yang
dilakukannya, setiap masa yang digunakannya dari usianya, dan seluruh gerak
diamnya, hanya kerana Allah s.w.t., di bawah payungan rahmat Ilahi s.w.t. di
dalam konsep kehambaan yang mutlak kepada Allah s.w.t..
Ini difahami oleh kaum sufi dengan istilah “At-Tawajjuh”. Hal ini
merupakan intipati dari makna firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “katakanlah
bahawasanya: solatku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku hanyalah kerana
Allah s.w.t..”
Antara hadis yang turut menjelaskan tentang perkara ini ialah hadis Jibril
a.s., dalam perbahasan ihsan, di mana Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa:
“Ihsan ialah, kamu menyembah Allah s.w.t. sepertimana kamu melihat-Nya.
Kalaulah kamu tidak melihat-Nya sekalipun, sesungguhnya Dia melihat kamu”.
Ramai di kalangan para ulama’ sufi yang membincangkan hadis ini dari sudut
batinnya, di dalam buku-buku mereka dengan perbahasan-perbahasan zauqiyah,
namun cukuplah di sini, kita kutip salah satu kefahaman ringkas dan mudah dari
hadis ini iaitu, berkenaan dengan musyahadah dan muroqobah.
Musyahadah (penyaksian) ialah suatu keadaan hudur Al-Qalb fi
Hadratillah atau kehadiran hati yang sentiasa melihat bahawasanya Allah
s.w.t. melihatnya. Kehadiran hati tersebut merupakan lawan bagi kelalaian.
Muroqobah (pengawasan) merupakan peringkat di bawah peringkat musyahadah,
dan ianya merupakan peringkat asas sebelum sampai kepada peringkat musyahadah.
Muroqobah bererti, pengawasan diri dan sentiasa menanamkan dan
mengingatkan diri kita, bahawa Allah s.w.t. sentiasa melihat dan memerhatikan
setiap gerak geri kita.
Demikianlah sedikit sebanyak tentang hadis tersebut.
Seterusnya, apabila kita sudah mengakui bahawasanya, seluruh amalan dan
kehidupan kita serta kematian kita adalah kerana Allah s.w.t., bererti kita
juga telah mengakui bahawa, apa yang sebenarnya dicari oleh kita di dalam
kehidupan kita ialah redha dari Allah s.w.t. yang mana, kepada-Nyalah kita
mempersembahkan dan memperbentangkan amalan kita kepada-Nya.
Apabila kita dapati bahawa, makna dan tujuan kita hidup di dunia ini tidak
lebih daripada untuk “hidup dan mati kerana Allah s.w.t.”, maka tergamakkah
kita mempersembahkan dan memperbentangkan amalan-amalan kita kepada selain
daripada-Nya?
Sudah pasti, apabila makna “hidup dan matiku kerana Allah s.w.t.”, sudah
terealisasi dan tersemat erat di dalam jiwa seseorang, sudah tentu dia tidak
lagi mengadapkan tujuan kehidupannya untuk mencapai selain dari redha dan
rahmat dari Allah s.w.t..
Makna “kehidupan dan kematianku kerana Allah s.w.t.” juga membawa pelbagai
maksud tauhid yang lain seperti “kehidupan dan kematianku untuk Allah s.w.t.”,
“kehidupan dan kematianku dengan kehendak Allah s.w.t.” dan “kehidupan dan
kematianku dari Allah s.w.t.”.
Pernyataan “kehidupan dan kematianku dari Allah s.w.t.” merupakan pintu untuk
mencapai kefahaman-kefahaman yang lain.
Apabila seseorang melihat dalam dirinya sendiri, dia pasti merenung, dari
manakah datangnya diriku ini? Kalau dari ibu dan bapa, bererti mereka berkuasa
dalam menjadikanku. Tetapi, mereka juga akhirnya mati seperti ibu bapa mereka
(datuk nenekku), menunjukkan bahawa, mereka juga tidak berkuasa terhadap diri
mereka sendiri, bagaimana mungkin pula berkuasa terhadap diriku ini? Akhirnya,
pmikirannya yang waras akan serta-merta menunjukkan kepada natijah iaitu, di
sana, adanya satu Tuhan yang berkuasa ke atas segala sesuatu, dan dari Dialah
kita wujud.
Apabila sudah memahami bahawasanya: “kehidupan dan kematianku dari Dia yang
Maha Berkuasa” tersebut, kita juga seterusnya bermuhasabah diri di hadapan
ajaran-ajaran agama Islam untuk meningkatkan kefahaman kita tentang diri kita
ini.
Apabila kita selami makna dari roh ajaran Islam itu sendiri, kita fahami
bahawa, tujuan hidup dan mati kita adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya
berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “tidak aku jadikan jin dan
manusia melainkan untuk beribadah (kepada-Ku)”.
Dari kefahaman ini, kita seoalah-olah dilintasi oleh hembusan syaitan yang
mempersoalkan bahawa: “mengapa kita perlu beribadah kepada-Nya, sedangkan kita
diberi kebebasan untuk memilih apa yang kita suka?” Jadi, nafsu turut
meronta-ronta untuk tidak tunduk kepada perintah Samawi tersebut, seraya
berkata: “kalau anda ikut agama, untuk beribadah kepada-Nya, tentu anda akan
keletihan. Pilihlah hala tuju yang menyenangkan anda, dengan tidak patuh
kepada-Nya”.
Dalam menangkis pelbagai hasutan syaitan dan tipu daya nafsu, anda sudah tentu
terfikir tentang suatu hakikat yang lebih besar dari pelbagai tipu daya
tersebut. Ia turut tersemat di dalam kata-kata Sheikhuna (guru kami)
Sheikh Yusuf Al-Hasani: “Sesiapa yang keluar ke dunia (lahir ke dunia) bukan
kerana pilihan dirinya sendiri, pasti akan keluar dari dunia bukan kerana
pilihannya sendiri juga. Oleh yang demikian, di mana pula letaknya kebebasan
kehendak kita di antara kedua-duanya (antara kamu hidup bukan kerana pilihanmu
dan kamu mati bukan kerana pilihanmu)”.
Pernyataan Sidi Yusuf Al-Hasani cuba menjelaskan bahawa:
Kita lahir ke dunia bukan kerana kita yang memilih untuk hidup di dunia ini.
Kita juga akan mati bukan kerana kita yang memilih untuk meninggalkan dunia
ini.
Ajal dan usia sememangnya di tangan Allah s.w.t.. Berapa ramai orang yang
berkahwin (sebab untuk mendapatkan anak), tetapi tidak mempunyai anak. Berapa
ramai yang cuba membunuh diri (sebab untuk menghilangkan nyawa), tetapi tidak
berjaya untuk mati.
Ini menunjukkan bahawa, kita sebenarnya (bahkan seluruh kewujudan), sebenarnya
bergerak di bawah kehendak, izin dan kekuasaan Allah s.w.t.. Oleh yang
demikian, walaupun kita diberi kebebasan majazi untuk memilih, ianya tidak
terlepas dari kekuasaan dan kehendak Allah s.w.t., kerana kita sudah tentu
tidak mampu membuat sebarang pemilihan melainkan dengan izin Allah s.w.t.. Dari
izin Allah s.w.t. tersebut, yang merupakan dari kehendak-Nyalah, kita dapat
membuat pemilihan, bahkan kita sendiri dapat saksikan bahawa, bukan semua yang
kita mahukan, kita akan mendapatinya.
Realiti ini menunjukkan bahawa, kita yang diberi peluang untuk memilih dengan
izin Allah s.w.t. ini, tidak akan memilih melainkan untuk taat kepada-Nya,
dengan keinginan kita sendiri. Allah s.w.t. boleh memaksa seluruh manusia taat
dan patuh kepada-Nya, dengan kehendak dan kekuasaan-Nya, tetapi dengan ilmu dan
Lutf (kelembutan) Allah s.w.t., yang menyembunyikan hikmah-hikmah di sebalik
perbuatan-Nya, Dia membiarkan seluruh manusia dengan kebebasan memilih, yang
merupakan pemberian dari-Nya, untuk menguji yang manakah di antara mereka yang
akan mentaati-Nya dengan kerelaan dan yang mana akan mengkufuri nikmat
“kebebasan memilih” tersebut dengan kerelaannya juga.
Oleh yang demikian, Allah s.w.t. menjanjikan nikmat syurga kepada para hamba-Nya
yang taat, untuk menzahirkan kasih-sayang-Nya kepada para hamba-Nya dan untuk
menyembunyikan cinta-Nya kepada para hamba-Nya, dari musuh-musuh para
kekasih-Nya.
Demikian juga, Allah s.w.t. menjanjikan siksaan neraka kepada mereka yang
ingkar dalam mentaati-Nya, untuk menzahirkan kebesaran dan keagungan-Nya serta
memberi peringatan kepada manusia sebelum mereka mati, supaya kembali
kepada-Nya dengan ketaatan, selagi ada hayat.
Dari sinilah, jika kita memahami bahawa, hidup dan mati kita pun daripada-Nya,
mengapa tidak kita jadikan seluruh hidup dan mati kita untuk-Nya dan beramal di
dalam kehidupan kita semata-mata kerana-Nya. Pilihan untuk beramal kerana-Nya
dan metaati-Nya kerana-Nya semata-mata merupakan sebaik-baik pilihan, kerana
dengan memilih sebaliknya (iaitu untuk menderhakai Allah s.w.t.), ia sebenarnya
mengundang kepada kebencianAllah s.w.t. dan tidak membawa sebarang kebaikan
bagi kita.
Apabila seseorang sudah menghayati bahawa, dirinya hidup dengan izin dan kuasa
Allah s.w.t., dia akan menghayati bahawa, dia juga perlu menjadikan seluruh
hidupnya untuk Allah s.w.t., kerana itulah tujuan Allah s.w.t. menciptakan
dirinya.
Sheikhuna (guru kami) Sidi Yusuf Al-Hasani menegaskan makna ini dengan katanya:
“Tauhid ialah, kamu jadikan diri kamu hanya untuk Dia yang Maha Esa
semata-mata”.
Dari sinilah, apabila kamu melakukan sesuatu, kerana diri kamu untuk Allah
s.w.t., maka kamu tidak akan melakukan sesuatu melainkan kerana-Nya, kerana
kamu ialah, semata-mata hanya untuk-Nya.
Apabila ia menyerap ke dalam hati seseorang, maka, di sinilah timbulnya ikhlas,
di mana, apabila dia melakukan kebaikan, beribadah kepada Allah s.w.t.,
menolong sesama manusia, dan sebagainya, dia tidak akan melakukannya melainkan
kerana Allah s.w.t..
Apabila nilai-nilai kehambaan ini kembang mekar di dalam diri seseorang hamba,
maka keharuman “redhanya kepada Allah s.w.t. sebagai Tuhannya” akan
menyelubungi seluruh kehidupannya. Pada ketika itulah, keredhaannya kepada
Allah s.w.t. sebagai Tuhannya akan berkembang sehingga dia redha dengan seluruh
apa yang diredhai oleh Allah s.w.t. dan meredhai seluruh ketetapan hukum dan
ketentuan Allah s.w.t.. Lahirlah dari perasaan tersebut, keredhaannya kepada
Islam sebagai agamanya, dan Rasulullah s.a.w. sebagai rasul dan kekasih Allah
s.w.t..
Dari sinilah timbulnya benih-benih makrifat yang dimaksudkan di dalam hadis
tersebut sebagai “kelazatan iman”. Bukankah kelazatan tidak dapat diterjemahkan
ke dalam bahasa perkataan? Bukankah sesuatu kelazatan itu tidak dapat diketahui
dan difahami melainkan orang yang pernah merasakannya sahaja. Anda tidak akan
tahu kelazatan sesuatu makanan melainkan anda sendiri pernah merasakannya. Ketahuilah
bahawasanya, kefahaman kita terhadap hakikat sesuatu merupakan makanan rohani
kita, dan sebaik-baik makanan rohani ialah, kefahaman kita terhadap Allah
s.w.t. yang seterusnya membawa kepada makrifatullah (mengenal Allah s.w.t.).
Begitulah seperti kata-kata Sheikhuna Sisi Yusuf Al-Hasani: “Rezeki
rohani ialah rezeki yang paling istimewa. Ketahuilah bahawasanya, rezeki rohani
ialah kefahaman kita mengenai Allah s.w.t..”
Oleh yang demikian, tiada suatu nikmatpun yang diberikan oleh Allah s.w.t.
kepada seseorang hamba-Nya, melebihi kenikmatan takkala mengenali diri-Nya. Ini
kerana, makrifatullah (mengenal Allah s.w.t.) ialah nikmat yang paling tinggi
nilainya bagi seseorang hamba, kerana ia merupakan roh sesuatu kehambaan seseorang
kepada Allah s.w.t..
Diriwayatkan bahawasanya, Yahya bin Mu’az r.a. (m 258H) pernah berkata:
“makrifat ialah kehampiran hati dengan yang Maha Dekat (Allah s.w.t.),
kewaspadaan roh di sisi Kekasihnya (Allah s.w.t.), dan menyendirikan hatinya
dari selain Allah s.w.t. dan menjadikan ia hanya untuk Allah s.w.t. yang Maha
Pemerintah lagi Maha Menjawab segala permintaan.”
Dari makna inilah, kita dapati bahawa, seseorang yang sudah mengenali Allah
s.w.t., sudah mengenali kehinaan diri di hadapan keagungan-Nya, dan sudah
mengenali kehinaan dunia di sisi Allah s.w.t., sudah tentu tidak lagi
memalingkan dirinya kepada dunia yang lebih hina dari dirinya, dan sebaliknya
memalingkan seluruh tujuan kehidupannya untuk Allah s.w.t..
Maka, pada ketika itu, dunia sedikitpun tidak mampu lagi untuk menggodanya,
dengan perhiasan-perhiasan dan kecantikannya, kerana di matanya (hamba
tersebut), hanya ada Allah s.w.t., yang Maha Agung lagi Maha Cantik.
Jadi, sesiapa yang jujur dalam mengharapkan Allah s.w.t., sudah pasti tidak
akan memalingkan dirinya dengan mengadap dan mengemis di hadapan dunia yang
fana’ ini, seperi kata Imam Ja’far bin As-Sodiq r.a. (m 148H).
Imam Al-Rifa’ie r.a. berkata: Makrifah itu seperti pohon yang mempunyai tiga
ranting utama.
Ranting Pertama: Tauhid
Ranting Kedua: Tajrid
Ranting Ketiga: Tafrid
Tauhid ialah pengakuan kita bahawa tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t..
Ia merupakan langkah melenyapkan seteru Allah s.w.t. dari diri kita.
Tajrid pula ialah berkaitan dengan keikhlasan kita kepada Allah s.w.t.,
dengan memotong segala asbab. Dalam erti kata yang lain, tidak memandang dan
bergantung kepada asbab (sebab-sebab) tetapi bergantung harap kepada Allah
s.w.t. semata-mata.
Adapun Tafrid ialah memutuskan seluruh keterpautan hati secara
keseluruhannya, dan hanya melihat dan berpaut kepada Allah s.w.t. pada setiap
keadaan. Ia merupakan suatu yang amat tinggi. Tafrid juga bermakna, berhubungan
dengan Allah s.w.t. tanpa sebuah perjalanan, tanpa sesuatupun hatta tanpa
selain dari-Nya. Ini lebih menjurus kepada perbahasan Al-Fana’ dan Al-Baqo’
dalam istilah kaum sufi.
Imam Ar-Rifa’ie seterusnya menjelaskan bahawa: “jalan untuk mencapainya
(makrifat) ada lima iaitu:
Pertama: Takut kepada Allah s.w.t. dalam keadaan sendirian ataupun di khalayak
awam.
Kedua: Ketaatan mutlak dalam kehambaan (kepatuhan dengan melaksanakan syariat
Allah s.w.t..)
Ketiga: Memutuskan sebarang keterpautan hati melainkan hanya berpaut kepada-Nya
dan menghadap-Nya secara keseluruhan.
Keempat: Ikhlas dalam perkataan, perbuatan dan niat.
Kelima: Berwaspada dan berjaga dalam setiap lintasan dan setiap pergerakan.
Kesimpulan dari perbincangan berkisar tentang hadis yang mulia tersebut,
sesungguhnya makrifatullah itu merupakan suatu kalazatan yang dirasai oleh hati
seseorang hamba Allah s.w.t.. Kelazatan tersebut sebenarnya merupakan natijah
dari kejujuran nilai-nilai kehambaan seseorang kepada Allah s.w.t. dalam
menunaikan perintah Allah s.w.t. dan redha terhadap segala apa yang datang dari
Allah s.w.t..
Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan kepada kita sifat redha tersebut supaya
dengannya, kita terbang menuju redha-Nya di laman kemurahan dan rahmat-Nya.
Amin…
Wallahu
a’lam…
No comments:
Post a Comment