السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى
وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ
المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ
سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ
وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ
تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا
عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا
وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah
dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam
keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian
agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah
dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang
ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik
pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan
(keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati
Allah sebanyak-banyaknya
Rabiul Awwal menjelma lagi yang mengingatkan kita tentang kelahiran
bayi bertuah di Kota Mekah pada Tahun Gajah oleh ibunya Siti Aminah yang
diberi nama Muhammad bin Abdullah. Kelahirannya adalah pilihan Allah
sebagai nabi akhir zaman untuk membawa cahaya iman bagi menghilangkan
kegelapan jahiliah, menggantikan penindasan nafsu serakah kepada
keadilan Islam yang gah. Kejayaan umat Islam dalam mencapai kebahagiaan
hidup di dunia dan akhirat banyak bergantung kepada kesungguhan mereka
dalam mencontohi system yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w dalam
setiap aspek kehidupan. Sebagai contohnya dalam bab makan minu di mana
nabi Muhammad SAW memulakan makan dengan menyebut kalimah Basmallah,
kemudian membaca doa makan dan makan menggunakan tangan kanan serta
makan makanan yang berada berdekatan dengan baginda. Sebelum menjamah
makanan, Rasulullah SAW makan secubit garam dan disudahi dengan menjilat
jari serta mengucapkan Alhamdulillah. Baginda menggunakan tiga jari
untuk makan iaitu ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah serta baginda
mengunyah makanan sebanyak 40 kali sebelum menelannya. Baginda tidak
bernafas ketika minum air iaitu bernafas di luar bekas minuman serta
baginda minum air seteguk-seteguk dengan dimulakan dengan
Bismillah.
Menu harian Rasulullah SAW di pagi hari ialah segelas air dicampur
sesudu madu dan selesai solat sunat dhuha, baginda SAW akan memakan
tujuh biji kurma ‘ajwah. Sekiranya berpuasa, baginda akan berbuka dengan
segelas susu dan kurma. Baginda menambahkan cuka dan minyak zaitun di
dalam makanannya pada waktu petang. Bahkan, baginda melarang umatnya
meneruskan makan sekiranya sudah kenyang kerana perut sepatutnya
dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu makanan, air dan udara. Kejayaan
kita dalam mengikut sunnah Nabi kerana Allah termasuk dalam makan minum
akan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda serta mendapat
keberkatan hidup di dunia dan di akhirat disamping menjamin hidup sihat.
Kegagalan mengikut cara makan nabi mengundang pelbagai penyakit dan
bahaya apatah lagi terlibat dengan makanan yang haram dan syubhat.
Betapa malangnya manusia yang makan apa sahaja ikut selera tapi mahu
hidup sihat apatah lagi tidak menghiraukan halal dan haram tapi mahu
masuk Syurga. Ibarat suatu kisah wali Allah, Syeikh Ibrahim bin Adham
ketika beliau berhenti di persinggahan untuk ke tandas, lalu dikenakan
bayaran kepadanya. Lantas Ibrahim menangis teresak-esak kerana
memikirkan tempat yang sejijik itupun dikenakan bayaran, inikan pula
syurga Allah yang perlu dibayar dengan amal ibadah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي
يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ
رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi
Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta
mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
Musuh Islam sentiasa mencari jalan bagaimana cara untuk menjauhkan
umat Islam sendiri daripada menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai
contoh teladan terbaik dalam setiap aspek kehidupan disamping memomokkan
kepada dunia dengan tuduhan liar tentang nabi Muhammad s.a.w yang
digambarkan dengan pelbagai kejahatan. Sebagai contohnya tindakan
Majalah mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang membuka tahun baru 2013
dengan menerbitkan komik biografi Nabi Muhammad SAW dengan melukis
gambar baginda yang mulia. Jika sebelum ini majalah ini melukis gambar
yang menghina nabi Muhammad s.a.w dan kali ini dengan tujuan memuji nabi
namun ia merupakan suatu perbuatan yang haram dan tidak boleh dibiarkan
sama sekali. Sebenarnya musuh Islam tidak mampu menutup sanjungan
kepada nabi Muhammad s.a.w daripada tokoh mereka sendiri seperti tokoh
legenda Perancis yang tersohor, Napoleon Bonapart di mana walaupun dia
bukan seorang Islam, namun dia pernah berkata, “Saya begitu kagum kepada
manusia agung ini. Saya kagum kerana keagungan akal dan hati nabi
Muhammad s.a.w.” Begitu juga pandangan ikhlas seorang ilmuwan dari
Itali, Prof Laura Vecccia Vaglieri yang lebih terkenal sebagai seorang
orientalis banyak menghasilkan artikel mengenai Islam. Katanya, “Semasa
menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa, nabi Muhammad
s.a.w tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia
daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau tidak menggunakan
pendekatan sihir yang memukau penglihatan, tidak juga menyeru dengan
menggunakan ancaman serta ugutan. Apakah yang beliau lakukan? Beliau
menyuruh mereka supaya menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian
alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh manusia
membaca ‘Buku Alam’ dan berfikir mengenainya supaya dengannya manusia
yakin ada kewujudan Tuhan.” Begitulah panjang lebarnya cetusan tokoh
Barat itu dalam memperkatakan tentang keunggulan Rasulullah SAW. Tetapi
mengapakah pada masa ini mereka tidak membaca dan mengambil peduli apa
yang tokoh-tokoh mereka pernah katakan itu hinggakan tercetus
Islamofobia dengan sengaja mewujudkan bentuk provokasi sentimen agama
yang sempit dan tidak bertamadun. Masih banyak lagi tokoh-tokoh Barat
yang bukan Islam yang mengakui kelebihan agama Islam dan mereka
mengangkat imej Nabi Muhammad s.a.w di puncak tinta kajian mereka.
Michael H Hart seorang sejarawan, pakar matematik dan ahli astronomi
terkemuka di Barat meletakkan nama nabi Muhammad s.a.w pada kedudukan
teratas dalam kalangan 100 orang tokoh dikagumi. Malah Universiti
Harvard di Cambridge sebagai institusi pengajian tinggi paling tua di
Amerika Syarikat meletakkan ayat al-Quran di pintu masuk ke fakulti
undang-undangnya iaitu terjemahan ayat 135 Surah An-Nisa :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ
بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّـهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ
الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ ۚ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا
فَاللَّـهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن
تَعْدِلُوا ۚ وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ
بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi
orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang
menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu
sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang
didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada
menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang
rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu,
janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari
keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan
(daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui
dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah ar-Ruum :
الم ﴿
١﴾ غُلِبَتِ الرُّومُ ﴿
٢﴾ فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ ﴿
٣﴾ فِي بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّـهِ الْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِن بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ ﴿
٤﴾ بِنَصْرِ اللَّـهِ ۚ يَنصُرُ مَن يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di
negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan
mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada
pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan
sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu,
orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi
Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia
lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani
Kehebatan al-Quran sebagai mukjizat terbesar dan kekal di mana banyak
menceritakan peristiwa dahulu dan akan datang antara bukti bahawa ia
bukan rekaan nabi Muhammad s.a.w sebaliknya merupakan wahyu daripada
Allah. Antaranya kisah kemenangan silih berganti antara Rom Kristian dan
Parsi Majusi yang benar-benar dilihat berlaku oleh para sahabat. Malah
semasa kelahiran nabi Muhammad s.a.w lagi dunia mengalami beberapa
peristiwa gempar antaranya runtuhnya beberapa tiang istana kerajaan Rom
dan padamnya api penyembahan Majusi kerajaan Parsi seolah-olah petanda
awal kedatangan nabi Muhammad s.a.w bakal menjatuhkan 2 empayar besar
pada itu iaitu Rom dan Parsi. Ini diikuti dengan sabda nabi dalam hadis
riwayat imam Muslim daripada Jabir bin Samurah yang bermaksud :
Segolongan orang Islam bakal menguasai harta kekayaan kaum kerabat
maharaja Parsi di Abyad. Ia terbukti pada zaman Khalifah Sayyidina Umar
melalui panglima tenteranya Saad bin Abi Waqqas pada tahunn 637 Masihi.
Begitu juga sabda nabi dalam hadis riwayat imam Bukhari dan Muslim
daripada Abu Hurairah yang bermaksud : Kaisar Parsi bakal hancur dan
tidak ada kisra selepas itu. Kaisar Rom juga bakal hancur dan tidak ada
kaisar selepas itu. Harta-harta rampasan diagihkan pada jalan Allah. Ia
terbukti dengan kejatuhan Rom pada zaman Empayar Uthmaniah pada tahun
1453 Masihi dengan kejatuhan kota Istanbul.
Kita pada hari ini sudah tidak dapat melihat mukjizat seperti
pembelahan bulan, air yang keluar dari celah jari nabi yang mulia,
pokok tamar yang berjalan bila diseru oleh nabi dan banyak lagi
mukjizat yang lain namun mukjizat yang paling besar dan berkekalan terus
ada pada tangan kita umat akhir zaman iaitu al-Quran yang mulia
disamping hadis nabi. Umat Islam dahulu berjaya merajai dunia kerana
berjaya melaksanakan perintah Allah dan rasulNya termasuk menjatuhkan
Empayar Rom dan Parsi. Oleh itu tidak menjadi suatu perkara yang
mustahil untuk menghancurkan kekejaman zionis yahudi dan seterusnya
memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Aqsa kerana ia telah dimaklumkan
melalui lidah nabi Muhammad s.a.w. Kejayaan dan kegagalan kita
bergantung kepada sejauh mana keyakinan dan kesungguhan kita dalam
melaksanakan perintah Allah dan rasulNya dalam setiap aspek kehidupan.
Jika Islam yang kita pilih maka kejayaan yang kita bakal raih. Jika
jahiliah yang kita guna maka kehinaan yang kita bakal terima. Islamlah
nescaya kita selamat dan bahagia dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w)
kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya
kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu
kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi
orang-orang yang melanggar perintahNya)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ
وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ
الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ
السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ
وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ
وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا
نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ